spot_img

Apartment Bocor, Nak Buat Apa? Peguam Jelaskan Tindakan Pemilik Rumah Wajib Tahu

- Advertisement -

Bagi yang tinggal di rumah bertingkat seperti apartment dan flat, anda pasti pernah mengalami situasi di mana tiba-tiba berlakunya kebocoran terutama di bahagian bilik air.

Keadaan tersebut sangat tidak menyenangkan dan sememangnya boleh membangkit kemarahan.

Tetapi, siapakah yang bertanggungjawab terhadap perkara ini? Pemilik atau pihak pengurusan?

- Advertisement -

KEBOCORAN ANTARA TINGKAT – APAKAH TANGGUNGJAWAB PEMILIK DAN PIHAK PENGURUSAN?

Tindakan pertama yang anda perlu lakukan adalah memberikan notis kepada pihak pengurusan selaras dengan Peraturan 56 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

SELEPAS NOTIS DIBERI, APAKAH TINDAKAN SEPATUTNYA YANG PERLU DIAMBIL OLEH PIHAK PENGURUSAN?

- Advertisement -

Setelah menerima notis seperti di Peraturan 56 tersebut, pihak Perbadanan Pengurusan Apartment haruslah menjalankan pemeriksaan dalam masa tujuh (7) hari ke atas unit milik tingkat atas bagi menentukan punca kebocoran antara tingkat itu dan pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kecacatan yang menyebabkan kebocoran itu. Perkara ini telah dinyatakan di Peraturan 57 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Kemudian, berdasarkan Peraturan 59, dalam masa lima (5) hari dari tarikh pemeriksaan, pihak pengurusan Apartment haruslah mengeluarkan satu perakuan pemeriksaan dalam Borang 28 untuk menyatakan sebab kebocoran antara tingkat dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kecacatan yang menyebabkan kebocoran tersebut.

Selepas pemeriksaan dibuat di unit milik tingkat atas, pihak pengurusan Apartment perlu mengeluarkan Borang 28 kepada pemilik tingkat atas itu dan memintanya untuk memperbaiki kerosakan di bahagian yang menjadi punca kebocoran antara tingkat ke rumah anda di tingkat bawah.

- Advertisement -

Jika Borang 28 tersebut sudah diserahkan hampir 2 minggu kepada unit milik atas namun masih tidak memperbaiki kerosakan di bahagian kerosakan unit milik atas dengan sebab tiada duit untuk membaikinya,

APA TINDAKAN SETERUSNYA YANG BOLEH DIAMBIL OLEH ANDA?

Dalam situasi ini, anda boleh meminta pihak pengurusan untuk masuk ke unit milik atas dan membaiki kerosakan di bilik air tersebut.

KENAPA PIHAK PENGURUSAN PULA YANG PERLU BAIKI SEDANGKAN KEROSAKAN BERLAKU DI UNIT PEMILIK DAN BUKAN HARTA BERSAMA?

Tanggungjawab untuk membaiki kerosakan di unit milik atas jatuh kepada pihak pengurusan berdasarkan peraturan 61 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 seperti berikut:

“Kebocoran antara tingkat disebabkan oleh atau dikenalpasti berpunca daripada suatu petak:-

(1) Jika kebocoran antara tingkat disebabkan oleh atau dikenal pasti berpunca daripada suatu petak atau mana-mana bahagian daripadanya, pembeli, pemunya petak atau pemilik petak itu, tanpa prejudis kepada haknya untuk mendapatkan indemniti dari mana-mana pihak lain, hendaklah mengambil semua langkah perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dalam masa tujuh hari dari penerimaan Borang 28.

(2) Sekiranya langkah-langkah yang dinyatakan dalam subperaturan 61(1) tidak dilaksanakan, mana-mana pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau perbadanan pengurusan subsidiari atau ejen pengurusan yang dilantik oleh Pesuruhjaya di bawah subseksyen 86(1) atau 91(3) Akta, mengikut mana-mana yang berkenaan dengan, hendaklah secepat yang dapat dilaksanakan mengambil semua langkah perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dan hendaklah mengenakan caj dan mendapatkan semua kos dan perbelanjaan dari pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kebocoran itu.”

Selepas dimaklumkan sedemikian oleh anda, maka pihak pengurusan Apartment pun dengan segera melakukan kerja-kerja pembaikian di unit milik atas di mana kos pembaikian tersebut ditanggung oleh pihak pengurusan terlebih dahulu. Kos pembaikian tersebut perlu dibayar semula oleh unit milik atas kepada pihak pengurusan apartment.

Itulah gunanya menjelaskan yuran penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan yang menjadi sumber pendapatan pihak pengurusan untuk menjalankan kerja-kerja mereka.

**Penulisan di atas hanyalah perkongsian secara ringkas semata-mata untuk pemahaman masyarakat awam.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL