spot_img

Bukan Semua Tahi Lalat Penyeri

- Advertisement -

Tahi lalat sering dianggap sebagai penyeri di wajah. Jadi, tidak hairanlah ramai selebriti ternama di dalam mahupun luar negara yang memiliki tahi lalat di wajah menjadi kegilaan ramai.

Bukan itu sahaja, sehingga kini masih ada yang mempercayai bahawa kedudukan, warna dan saiz tahi lalat boleh membawa tuah atau sebaliknya.

Tidak kurang juga yang yakin bahawa ‘tanda’ ini boleh menggambarkan personaliti atau keperibadian seseorang.

- Advertisement -

Sebagai contoh, ada yang percaya individu yang memiliki tahi lalat di kening adalah seorang yang cerdik. Tidak kurang yang percaya apabila tanda itu berada di tapak kaki kanan, dia seorang yang tidak mudah mengeluh.

Ada juga tali lalat yang dilihat menggambarkan personaliti negatif seseorang.

Tahi lalat boleh didefinisikan sebagai tompokan pigmin atau dalam bahasa perubatan Melanocytic Neavus yang dihasilkan sel kulit dinamakan ‘melanocytes.’

Bukan Semua Tahi Lalat Penyeri
Cahaya matahari boleh mengakibatkan pertambahan tahi lalat.
- Advertisement -

Ia terjadi apabila tompokan itu ‘berkumpul’ di satu tempat sahaja antara lapisan epidermis dan dermis kulit.Tahi lalat ‘congenital’ wujud ketika lahir manakala (tahi lalat) ‘acquired’ tumbuh ketika sedang meningkat dewasa.

Pakar Estetika, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, kepercayaan seperti ini menimbulkan salah faham mengenai tahi lalat sehingga ada yang enggan mendapatkan rawatan.

“Ada dalam kalangan masyarakat yang enggan membuang tali lalat kerana percaya perkara itu sedangkan ia boleh menimbulkan kemudaratan kepadanya.

- Advertisement -

“Biarpun kebanyakan tali lalat tidak bahaya, namun kita perlu sedar bahawa ia (tahi lalat) boleh menjadi penyebab penyakit kanser kulit melanoma maligna,” katanya ketika ditemui di Klinik Lovina, Wangsa Maju, baru-baru ini.

Bukan Semua Tahi Lalat Penyeri
Gunakan lampu AV untuk lebih dalam.

Menurutnya, antara faktor seseorang boleh menghidap penyakit ini termasuk mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser kulit.

“Selain itu, radiasi sinar ultra ungu (UV) yang berlebihan antara penyebab kanser kulit,” katanya.

Oleh itu, sebagai langkah awal, individu boleh membuat pemeriksaaan kendiri dengan mengenal pasti ciri-ciri meragukan terhadap tahi lalat menerusi kaedah ABCDE.

“Asimetri (bentuk tidak sekata), Border (permukaan) yang tidak rata, Colour (warna) yang berubah, Diameter (saiz) lebih 5 milimeter dan Evolution (perkembangan) berubah dari kecil ke besar.

Bukan Semua Tahi Lalat Penyeri
Proses membuang tahi lalat.

“Sekiranya tanda ini dikenal pasti segera jalani pemeriksaan doktor untuk mendapatkan pengesahan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, terdapat beberapa faktor seseorang itu akan memiliki banyak tahi lalat.

“Sekiranya keluarga memiliki banyak tahi lalat, individu itu juga akan alami perkara sama. Kedua, individu berkulit cerah cenderung memiliki banyak tahi lalat.

“Selain itu tidak memakai krim pelindung matahari boleh mengakibatkan banyak tahi lalat ‘acquired’ tumbuh,” katanya.

Bukan Semua Tahi Lalat Penyeri
ANTARA pesakit yang menerima rawatan membuang tahi lalat.

Biarpun dikatakan sebagai penyeri wajah, namun tahi lalat juga boleh memberi kesan kepada penampilan terutama wanita.

“Sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang memiliki tahi lalat besar di muka sehingga membuatkannya berasa rendah diri.

“Selain itu kedudukan tahi lalat di tempat yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, iritasi dan mengganggu pergerakan,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa kaedah rawatan yang cepat dan ringkas boleh digunakan untuk membuang tahi lalat.

“Antaranya, melalui pembedahan untuk membuang tahi lalat terbabit. Namun sekiranya tidak dilakukan dengan baik akan menyebabkan pendarahan dan jangkitan serta kesan parut.

ABCDE - Kenali Tanda-tanda Awal Kanser Kulit
CIRI ABCDE yang mencurigakan terhadap tahi lalat.

“Saya cadangkan gunakan laser, kerana ia tidak menyakitkan, kurang pendarahan dan kesan parut yang minimum,” katanya,

Dr Hamidah berkata, kesedaran masyarakat terhadap tahi lalat masih lagi rendah sehingga ramai mengambil remeh perkara ini.

“Masih ada yang mengambil jalan pintas menggunakan produk kesihatan yang dijual dalam talian berbanding mendapatkan rawatan dengan doktor. Kita tidak tahu kandungan ubat itu yang boleh memberi kesan kepada kulit.

“Selain itu, pemakaian krim pelindung matahari juga perlu diamalkan sama ada di dalam ataupun di luar rumah untuk mencegah pertambahan tahi lalat,” katanya.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL