spot_img

Duduk dengan abang (Pesan terakhir buat ibu sebelum ajal)

- Advertisement -

Melaka: Seorang pemuda sempat berpesan kepada ibunya supaya tinggal bersama abangnya di Sungai Udang sebelum dia ditemui lemas di Sungai Duyong, di sini, hari ini.

Pesanan terakhir berkenaan disampaikan Muhammad Sidek Abd Karim, 29, sebelum keluar rumah kira-kira jam 4 pagi semalam tanpa memberitahu arah tujuan kepada ahli keluarganya.

Abang mangsa, Muhammad Khairi berkata, ahli keluarganya risau dengan keselamatan mangsa sebelum seorang lagi abangnya, Mohd Ridhuan keluar mencari Muhammad Sidek di sekitar Semabok sebelum menemui motosikal mangsa di jambatan Sungai Duyong.

- Advertisement -

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada Ahad lalu dan dia ada meninggalkan pesanan untuk tidak mahu menyusahkan emak dan adik-beradik.

“Kami sedih dengan pemergian Allahyarham. Terima kasih kepada pasukan keselamatan dan penyelamat yang berusaha mencari jasad adik saya hingga ditemui,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.

Allahyarham Muhammad Sidek adalah anak keempat daripada lima beradik dan sebelum ini mendapatkan rawatan mental sebulan sekali di Hospital Melaka.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, Muhammad Khairi berkata, sebelum ini, arwah adiknya sihat namun akibat kemalangan tujuh tahun lalu yang mengakibatkan berlaku pendarahan di kepala, kesihatannya kerap terganggu.

“Walaupun keadaanya begitu, dia tidak mengganggu orang dan hanya duduk di rumah, kadangkala dia membaca al-Quran,” katanya.

Mayat Muhammad Sidek ditemui dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada pokok bakau oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan Pasukan Penyelam di Air (PPDA) Melaka Tengah pada jam 1.50 tengah hari.

- Advertisement -

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, seramai 22 anggota dari BBP Padang Temu dan PPDA Melaka Tengah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui tertiarap dan tersangkut di pokok bakau kira-kira 150 meter dari lokasi jambatan menghala ke arah pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh daripada hospital.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL