spot_img

Dua ditahan hingga ekstradisi ke AS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan ikat jamin dua eksekutif rakyat Malaysia yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) atas pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu.

Sehubungan itu, ahli perniagaan, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, seorang penganalisis komputer berusia 30-an, kini ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga diekstradisi ke AS.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan itu selepas mendengar hujah peguam, Datuk Zamani Ibrahim yang mewakili pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

- Advertisement -

Terdahulu, Aslam dalam penghakimannya, berkata jaminan tidak boleh diberikan dalam kes ini.

“Malah sekiranya ikat jamin diberikan, kedua-dua pemohon yang kini berada di Penjara Sungai Buloh perlu dikuarantin selama dua minggu.

“Dalam tempoh itu, prosiding komital bagi permohonan ekstradisi kedua-dua pemohon ke AS sudah pun didengar di Mahkamah Sesyen pada Isnin ini,” katanya.

- Advertisement -

Terdahulu, Zamani berhujah bahawa kedua-dua pemohon sudah direman sejak 14 September lalu dan memerlukan masa untuk menyelesaikan urusan peribadi dan mengelakkan daripada terkena jangkitan kluster COVID-19 di penjara.

“Keluarga pemohon sudah melantik peguam di AS, bagaimanapun, perbezaan waktu 13 jam antara kedua-dua negara, menyukarkan mereka untuk berhubung.

“Kedua-dua pemohon tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, malah, bersedia untuk menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis sepanjang tempoh ikat jamin.

- Advertisement -

Bagaimanapun, Mohd Ashrof membantah permohonan itu dengan menyatakan tiada peruntukkan undang-undang yang membenarkan ikat jamin terhadap kes yang membabitkan ekstradisi.

“Kes terdahulu membabitkan permohonan sama (ekstradisi) juga tidak lagi dibenarkan ikat jamin sejak 2003.

“Selain itu, Malaysia juga menandatangani perjanjian dan mempunyai obligasi kepada AS serta negara lain yang terbabit dalam perjanjian ekstradisi,” katanya.

Mereka dipercayai menjalankan perniagaan haram menjual artifak permainan seperti kit dan kredit di AS.

Pada 3 September lalu, pihak berkuasa AS meminta kedua-dua suspek untuk diekstradisi ke negara itu dan Pejabat Peguam Negara bersetuju untuk mematuhi permohonan itu mengikut Akta Ekstradisi 1992, serta perjanjian ekstradisi antara pemerintah Malaysia dan AS.

Pihak polis kemudian memohon perintah reman di Mahkamah Majistret di sini pada 11 September lalu.

Pada 17 September lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua suspek ditangkap di Perak pada 14 September lalu.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL