spot_img

Ku Nan Dijatuhi Hukuman Penjara 12 Bulan Dan Denda RM2 Juta Kerana Rasuah RM2 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan.

Terdahulu, semasa menyabitkan Tengku Adnan, 70, bersalah terhadap pertuduhan itu, Mohamed Zaini berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah ke atas tertuduh dan Ahli Parlimen Putrajaya itu juga gagal menangkis kes pendakwaan.

- Advertisement -

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Advertisement -

Keputusan hari ini menjadi kes berprofil tinggi kedua melibatkan pemimpin UMNO yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dibawa semasa pemerintahan Pakatan Harapan selepas Barisan Nasional tumbang pada Mei 2018.

Pada 28 Julai, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan pembelaan semasa memohon hukuman yang ringan berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan kesalahan itu bukan jenayah yang sangat kejam.

- Advertisement -

“Anak guam saya adalah penyumbang yang besar kepada negara dan telah berkhidmat dalam kabinet dan Parlimen selama 17 tahun. Kami memohon tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya denda dikenakan terhadap anak guam saya. Saya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 untuk mengekalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Tan berkata mahkamah perlu mempertimbangkan majoriti tipis di Parlimen dan kerajaan sekarang akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Ini mendorong Mohamed Zaini bertanya: “Haruskah saya prihatin dengan perkembangan politik negara ini?”

Tan menjawab bahawa bagi mahkamah mendapati berlakunya jenayah, mahkamah tidak boleh prihatin tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan mahkamah akan memberi kesan.

“Mahkamah boleh mengambil pengiktirafan kehakiman. Kami mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mahkamah boleh pertimbangkan. Kesannya bukan secara terasing tetapi kumulatif dengan yang lain,” katanya.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL