spot_img

Bapa Pergi Samun Bawa Anak OKU, Jadikan Anak Sebagai Tebusan Pula

- Advertisement -

Seorang bapa tergamak membawa anak lelakinya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) Autism berusia 4 tahun untuk melakukan tiga siri jenayah bersenjatakan pisau panjang di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru, selasa lalu.

Bapa yang berusia 28 tahun itu turut bertindak mengugut untuk mencederakan anaknya sendiri menggunakan pisau tersebut selepas menyedari kehadiran pihak polis untuk menangkapnya. Bagaimanapun, bapa itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan polis.

Pemangku Ketua Polis daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pertama dilaporkan pada 12.10 tengah malam apabila suspek yang bersenjatakan pisau panjang mengancam sebelum melarikan kereta Proton Wira milik lelaki Indonesia di kawasan warung, Taman Air Biru, Pasir Gudang.

- Advertisement -

Menurutnya, pada 12.50 tengah malam pula, suspek menahan seorang wanita berusia 55 tahun dipercayai gelandangan dan memaksa mangsa mengikutinya menaiki kenderaan yang dicuri itu.

“Suspek kemudian membawa anak lelakinya berpusing-pusing sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang sebelum kereta itu kehabisan minyak di kawasan perumahan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang sekitar jam 2.35 pagi.

“Dia (suspek) meninggalkan kenderaan itu dan wanita terbabit sebelum berlalu pergi bersama anaknya. Mangsa (wanita) kemudian meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

- Advertisement -

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, suspek terus melakukan jenayah dengan mengancam dua pekerja Bangladesh di stesen minyak di Jalan Pelabuhan Pasir Gudang menggunakan senjata sama dan meminta wang daripada mangsa.

“Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang bimbang dicederakan menyerahkan sejumlah wang kepada suspek,” katanya.

Sebaik menerima maklumat berkaitan kejadian itu, gerakan polis secara bersepadu diaktifkan bagi memburu suspek.

- Advertisement -

“Suspek berjaya ditahan jam 8 malam di sebuah rumah di kawasan Taman Air Biru,” katanya.

Mengulas mengenai drama penahanan itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, suspek bersenjatakan pisau panjang yang sama digunakan untuk jenayah lain sebelum itu mendukung dan mengugut untuk membunuh anaknya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Usaha memujuk dilakukan hampir dua jam namun tidak berjaya. Polis terpaksa menggunakan kekerasan munasabah untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

“Biarpun berlaku pergelutan antara suspek dan polis, anaknya berjaya diselamatkan. Namun, kanak-kanak itu mengalami luka ringan di dahi manakala suspek juga cedera di tangan kiri,” katanya.

Tambahnya, anggota polis juga mengalami kecederaan ringan di jarinya akibat pergelutan itu.

Pihak polis percaya suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah tersebut, selain turut mengalami masalah keluarga.

Siasatan lanjut mendapati suspek sudah berpisah dengan isterinya pada Julai lalu dan turut mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah.

Dia memiliki dua orang anak bersama bekas isterinya. Sementara itu, kanak-kanak OKU berkenaan telah dikembalikan kepada jagaan bekas isteri suspek setelah rawatan diberikan.

Suspek kini direman selama enam hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan percubaan membunuh.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL