spot_img

‘Tiga Kali Polis Tumbuk Muka Saya’

- Advertisement -

Petaling Jaya: Anggota polis trafik yang didakwa menumbuk seorang penunggang motosikal di Kilometer 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini, membuat laporan menafikan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, satu sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di lokasi itu membabitkan tujuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 8 hingga 9 pagi tadi.

“Dalam kejadian ini, sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri warga tempatan cuba melarikan diri daripada SJR.

- Advertisement -

“Ketika melarikan diri, penunggang motosikal itu melanggar kaki seorang anggota polis bertugas sebelum dia berjaya ditahan oleh anggota yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, penunggang motosikal itu dikenakan tindakan saman kerana kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.

“Semakan juga mendapati penunggang motosikal itu mempunyai 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

- Advertisement -

“Susulan kejadian tular itu, kami sudah mengesan anggota berkenaan dan dia ada membuat laporan menafikan kejadian terbabit. Namun, kami tetap menjalankan siasatan dari segi jenayah dan pelanggaran disiplin,” katanya.

VIDEO menunjukkan anggota polis menumbuk seorang penunggang motosikal. FOTO tular media sosial

Beliau berkata, setakat ini, penunggang motosikal itu belum tampil membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kami sedang mengesan penunggang motosikal berkenaan bagi membantu siasatan. Malah, kertas inkuiri polis juga sudah dibuka dan siasatan ke atas anggota terbabit sedang giat dijalankan.

- Advertisement -

“Pendirian kami adalah tegas dan konsisten di mana apa saja salah laku pegawai serta anggota akan disiasat dengan teliti. Tindakan akan diambil dari sudut undang-undang serta tatatertib sekiranya didapati wujud kesalahan,” katanya yang memaklumkan anggota polis berkenaan tidak ditahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azaman Sharia’at berkata, pihaknya mengambil berat dan serius berhubung kejadian berkenaan.

“Kami akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang anggota polis dilihat menumbuk seorang penunggang motosikal yang ditahan di tepi jalan untuk pemeriksaan tular di media sosial, hari ini.

“Tiga kali dia tumbuk muka saya, apa yang dia (anggota polis) nafikan itu adalah tidak benar, sebaliknya dia sudah menumbuk saya dua kali sebelum video itu dirakam,” kata Muhammad Farhan Awang Kafli, 30.

Muhammad Farhan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum melalui satu sekatan jalan raya (SJR).

“Saya memang akui bersalah kerana cuba melarikan diri tetapi saya berhenti apabila ditahan.

“Ketika ditahan itu anggota polis berkenaan sudah menumbuk saya sebanyak dua kali, kemudian dia datang lagi merampas kunci motor dan mendakwa saya melanggar kakinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika cuba menjelaskan keadaan dia kemudian ditumbuk sekali lagi dan dilemparkan kata-kata kesat.

“Dia beritahu isteri saya kenapa saya ini bodoh sangat, saya tahu saya melakukan kesalahan namun tindakan dia (anggota polis) itu tidak boleh diterima.

“Saya sudah cuba menjelaskan bahawa saya tidak melanggar kaki dia, namun dia tidak boleh terima dan menumbuk saya,” katanya.

Katanya, dia dan isteri kini sedang membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Saya berharap siasatan yang telus dapat dijalankan kerana tindakan anggota polis itu tidak boleh diterima.

“Sekali lagi saya mengaku saya melakukan kesalahan tetapi tidak boleh menghukum saya dengan cara begitu,” katanya.

Terdahulu, anggota polis trafik yang didakwa menumbuk seorang penunggang motosikal di Kilometer 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini, membuat laporan menafikan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, satu SJR dilakukan di lokasi itu membabitkan tujuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 8 hingga 9 pagi tadi.

Satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang anggota polis dilihat menumbuk seorang penunggang motosikal yang ditahan di tepi jalan untuk pemeriksaan tular di media sosial, hari ini.

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL