spot_img

Rakyat Nak Beli Kool Fever Patch Pun Tak Ada Duit, Ahli Politik Sibuk Berebut Kuasa

- Advertisement -

SEMALAM, seorang wanita warga emas masuk ke salah sebuah kedai serbaneka di Shah Alam untuk beli dua biji Panadol Actifast. Namun walaupun tengah sakit kepala dia batalkan hasratnya apabila ubat tu dijual ‘satu papan’ dengan harga RM9.80. Harga itu mahal baginya yang dipercayai bekerja sebagai tukang cuci bangunan.

Dia melangkah keluar dengan hampa, pada wajahnya nampak menahan kesakitan. Bagaimanapun dia bernasib baik apabila seorang gadis yang kebetulan beratur di belakangnya di kaunter bayaran melihat gelagat wanita berkenaan.

Gadis tersebut membeli ubat itu dan diberikan kepada wanita yang sudah pun berada di lokasi untuk dia kembali bekerja dalam keadaan kesakitan. ‘’God bless you’’ – kata wanita tersebut yang pasti tidak menyangka akan ada orang akan membeli ubat yang cukup diperlukan ketika itu.

- Advertisement -

Semalam juga penulis terbaca berita betapa murninya Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Nik Azanee Mohd Faisal dan anggotanya menghulurkan sumbangan kepada seorang wanita yang ditahan oleh anggota keselamatan di sebuah pasar raya kerana gagal membayar barang yang ada bersamanya.

Apakah barang itu? Kool Fever patch dan kek untuk anak kecilnya berusia 3 tahun. Wanita berusia 36 tahun itu terdesak kerana tiada wang akibat dia dan suami hilang pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Penulis paparkan dua cerita ini sebagai contoh bagaimana menderita dan sengsaranya rakyat akibat kesan pandemik Covid-19. Malah sebelum inipun kita sudah dipaparkan bagaimana ramai rakyat yang susah akibat pandemik tersebut.

- Advertisement -

Tetapi bagaimana dengan ahli politik? Masing-masing dok sibuk nak berebut kuasa, masing-masing dok ‘tergila-gila’ nak sidang Parlimen! Masing-masing dok berhujah pertikai darurat yang rakyat dok merempat kat bawah mereka tak nak ambil peduli. Rakyat nak beli ubat pun tak ada duit.

Yang anehnya masing-masing mendabik dada berjuang untuk rakyat, begitu retorik bila berkata masalah rakyat boleh dilketengahkan apabila sidang Parlimen diadakan, semua itu hanya sandiwara.

Kalau betul mereka berjuang untuk rakyat dan begitu prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, mereka sepatutnya bersama kerajaan mencari jalan untuk membantu rakyat yang susah.

- Advertisement -

Kalau semua ahli politik ‘tarik brek sekejap’ daripada berpolitik dan tumpu perhatian bantu rakyat sudah pasti kisah-kisah sedih itu tidak berlaku. Sebelum ini pun kita sudah dengar bagaimana Ustaz Ebby Lew pula bagaikan ‘Wakil Rakyat Seluruh Malaysia’ bersusah payah ke hulu ke hilir, ke sana ke sini untuk membantu rakyat yang susah. Macam-macam beliau buat apabila tahu ada insan dalam kesusahan.

Apa orang politik buat? Bergaduh siang malam, berbuih mulut pagi petang dok bercakap soal darurat, minta sidang Parlimen, seolah-olah kalau sidang Dewan Rakyat tak ada, mereka tak boleh buat kerja. Macam lah rakyat tak tahu apa mereka nak buat kalau Parlimen bersidang.

Bangunan Parlimen bukannya diruntuhkan pun, hanya ditangguhkan sebab negara dok berhadapan dengan pandemik Covid-19, rakyat tengah susah, kerajaan kena beri tumpuan untuk bantu mereka, bukannya nak melayan kerenah segelintir ahli politik yang tak sudah-sudah nak berpolitik, yang kita tahu sesetengahnya ada agenda peribadi!

Penulis tahu apa yang diperkatakan ini tak akan beri kesan kepada ahli-ahli politik yang terlibat, tetapi rakyat sedang memerhati. Sekarang ni pun rakyat dah menyampah dengan kerenah mereka.

Apapun terima kasih kepada gadis yang membantu membeli panadol untuk wanita warga emas dan terima kasih kepada Nik Azanee dan anggotanya serta Ustaz Ebby Lew, penulis percaya ramai lagi rakyat Malaysia seperti mereka, kelompok ini bertindak atas dasar hati nurani sesama insan kerana mereka bukan ahli politik.

Nak macam-macam info? Join group Nak Kecam Apa Hari Ini?

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL