spot_img

CIK SITI JALANG : Legenda wanita yang mengahwini 100 orang lelaki di Kota Tinggi

- Advertisement -

Penduduk di Kota Tinggi, Johor pasti pernah mendengar kisah legenda tentang Cik Siti Jalang. Kisah ini popular mengenai seorang wanita yang berkahwin dengan 99 orang lelaki.

Dikatakan kisah ini berlaku sekitar abad ke-17 dahulu. Cik Siti Jalang ini merupakan gelaran kepada seorang wanita bernama Siti Aminah.

Mengapa dia digelar sebegitu rupa? Yang peliknya, kenapa perlu berkahwin cerai sehingga 99 orang lelaki? Memang aneh jika seorang wanita berkahwin sebanyak itu.

- Advertisement -

Sebenarnya, ada kisah di sebaliknya. Berdasarkan cerita lisan daripada penduduk tempatan yang disampaikan turun temurun, Siti Aminah ini berasal dari sebuah negeri di pantai timur. Sejak kecil lagi, dia telah dipelihara oleh sebuah keluarga bangsawan Bugis di Kota Tinggi, Johor.

Dikatakan Siti Aminah cantik orangnya. Jadi, tidak hairanlah namanya menjadi sebutan khususnya lelaki bujang mahupun sudah berkahwin di daerah tersebut. Ramai lelaki mahu menyuntingnya.

- Advertisement -

Apabila kisah kecantikan Siti Aminah mula menjadi perbualan dan menarik perhatian lelaki, keluarga angkatnya mulai risau. Mereka bimbang kesucian gadis ini dinodai oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kerana itu, ibu dan bapa angkatnya dipercayai telah mewariskan satu ilmu pendinding bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku ke atas anak gadis kesayangan mereka itu.

Hendak dijadikan cerita, apabila Siti Aminah meningkat usia dewasa, ramai jejaka di daerah itu menghantar rombongan merisik. Bagaimanapun, seorang lelaki dipercayai dari golongan keluarga berada telah berjaya menambat hati ibu dan bapa Siti Aminah.

Usai majlis merisik, akhirnya wanita ini selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati keluarganya. Ia dikatakan berlangsung dengan penuh meriah.

- Advertisement -

Tetapi, pada malam pertama sebagai isteri, berlaku satu peristiwa yang tidak diduga. Siti Aminah tiba-tiba telah diceraikan oleh suami pertamanya.

Punca perceraian berlaku disebabkan pengantin lelaki tidak berpuas hati terhadap malam pertamanya bersama wanita itu. Lebih aneh, lelaki itu mendakwa Siti Aminah yang dinikahinya bukan seorang perempuan sejati. Sebabnya, dia gagal menemui sebarang petanda yang boleh membuktikan Siti Aminah adalah seorang wanita.

Maka, selepas itu Siti Aminah pun menjadi janda. Dalam bahasa sekarang, boleh disebut sebagai ‘janda berhias’ kerana dia belum pernah disentuh suami.

Tetapi, walaupun berstatus janda, Siti Aminah tetap menjadi rebutan di kalangan lelaki yang ingin menjadikannya sebagai suri hati mereka. Bagaimanapun, hasrat para jejaka yang pernah mengahwini wanita itu tidak seperti yang diharapkan.

Seorang demi seorang lelaki yang mengahwini Siti Aminah tidak pernah kekal lama. Setiap kali majlis perkahwinan dilangsungkan, tidak lama kemudian pasti akan berakhir dengan penceraian. Dikatakan nasib malang menimpa Siti Aminah berlarutan sehingga majlis perkahwinannya yang ke-99 kali.

Apabila Siti Aminah berkahwin untuk kali ke-100, berulah perkahwinan itu kekal. Tiada lagi nasib malang sering diceraikan seperti sebelum ini.

Diceritakan bahawa lelaki ke-100 yang memperisterikan Siti Aminah merupakan seorang yang warak dan memiliki pegangan agama yang kuat. Secara tidak langsung, lelaki itu berjaya membuka ilmu pendinding kunci nafsu yang diwarisi oleh keluarga angkat Siti Aminah. Perkahwinan mereka berdua kekal dan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Selain kisah warisan ilmu pendinding ini, terdapat satu lagi versi cerita lisan lain yang dikaitkan dengan wanita itu. Versi kedua ini mengatakan bahawa Siti Aminah sebenarnya bukan diceraikan, tetapi yang berlaku disebabkan satu sumpahan yang tidak dapat dielakkan. Dan disebabkan sumpahan itu, sesiapa saja yang menjadi suami wanita ini akan menemui ajal selepas malam pertama mereka.

Versi ini menyebut 99 orang suaminya mati akibat gigitan serangga berbisa iaitu kala jengking. Disebabkan itu, Siti Aminah telah mengenakan hantaran yang tidak masuk akal pada lelaki yang mahu menyuntingnya. Hantaran itu berupa dua benda iaitu sebuah keranda kayu dan sekayu kain putih bagi persediaan awal pengkebumian mereka keesokan harinya. Namun, tiada kesahihan tentang cerita versi kedua ini.

Versi pertama lebih diterima pakai. Tambahan pula Siti Aminah tidak mempunyai zuriat kerana sudah agak berusia apabila berkahwin dengan suaminya yang ke-100. Disebabkan asyik berkahwin cerai itulah, Siti Aminah mendapat gelaran Cik Siti Jalang.

Semasa hayatnya, Siti Aminah telah berpesan pada keluarganya. Sekiranya dia meninggal kelak, dia mahu jenazahnya dikebumikan jauh dari kawasan kampung. Seperti yang dapat kita lihat hari ini, makam wanita ini terletak jauh di hujung kampung, berdekatan pinggir sungai di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, Johor.

Kisah legenda Cik Siti Jalang ini juga kerap diangkat ke layar perak. Salah satu antaranya ialah Sanggul Beracun, telefilem arahan Sabri Yunus yang diinspirasikan daripada kisah ini dan muncul sebagai Drama Terbaik dalam sebuah anugerah pada tahun 2011.

Nak macam-macam info? Join Group Facebook Nak Kecam Apa Hari Ini?

 

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL