spot_img

Sukakan Aktiviti Bertanam Pokok Unik, Siapa Sangka Terarium Yang Dicipta Mampu Menjana Wang Sampingan Buat Nazrol Ikhwan

- Advertisement -

ASALNYA beliau hanya sukakan aktiviti bertanam pokok unik. Siapa sangka, daripada hobi masa lapang, terarium yang dicipta mampu menjana wang sampingan buat Nazrol Ikhwan Che Nordin.

Bagi mereka yang asing dengan nama itu, terarium adalah ekosistem miniatur tumbuhan yang diletakkan bunga dan hiasan comel sama ada dalam keadaan tertutup atau terbuka. Biasanya ia dijadikan perhiasan.

Bagi anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu, hobi unik berkenaan tercetus apabila terlihat satu video dalam media sosial mengenai terarium menggunakan pelbagai jenis lumut menghiasi bekas kaca tertutup.

- Advertisement -

“Mulanya saya pelik melihat reka bentuk moss (lumut) yang cantik dibina secara berlapis-lapis mengikut landskap yang dicipta. Perasaan ingin tahu meluap-luap. Jadi saya lihat dan belajar daripada video tersebut.

“Sebenarnya sudah lama minat tanam pokok minimalis seperti kaktus, bunga unik dan jarang ada. Mungkin sebab dari kecil melihat emak dan ayah suka berkebun, jadi ia datang secara semula jadi,” bicaranya.

Pemuda berusia 37 tahun tersebut tidak menafikan kebanyakan bahan mentah dan peralatan diimport dari negara luar. Tidak ramai mereka yang membuat terarium di Malaysia.

Terarium Nazrol Ikhwan
HOBI anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu tercetus apabila terlihat satu video dalam media sosial mengenai terarium menggunakan pelbagai jenis lumut menghiasi bekas kaca tertutup.
- Advertisement -

Kebanyakan video atau tutorial ditinjaunya juga dari negara luar dan hanya beberapa laman pemilik tempatan di Facebook yang menjadi rujukannya.

“Minat buat terarium ini sejak 2017 lagi. Saya ambil masa lebih setahun untuk belajar.

“Hanya belajar daripada video di YouTube dan mula-mula buat memang tak jadi. Tanah jadi kering dan moss berkulat. Ada ketikanya anak pokok yang ditanam mereput dan tanah jadi berbau,” ceritanya dengan nada kecewa.

- Advertisement -

Akan tetapi, kakitangan syarikat swasta itu tidak berputus asa. Nazrol Ikhwan belajar daripada kesilapan termasuk mengkaji struktur tanah, jenis lumut dan hiasan sesuai.

“Tanaman tidak menjadi dan gagal tahan lama biasanya disebabkan tanah ‘tidak bersih’. Kena buat pembersihan tanah supaya bebas daripada telur cacing, bakteria atau alga.

Lebih 100 terarium

“Terpaksa ambil masa dan komitmen diri. Bila jumpa satu page kedai terarium yang terletak di USJ, saya lega sebab boleh beli balang atau peralatan lain di situ dengan mudah,” katanya yang seronok berpeluang mempelajari cara membuat terarium daripada pemilik kedai terbabit.

Biarpun awalnya hobi dilakukan hanya untuk mengisi masa lapang, begitupun, apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang datang rumah dan tertarik dengan hasil kerja tangannya, ramai pula yang berminat membelinya.

Ada juga yang meminta Nazrol menghasilkan terarium khas untuk insan tersayang.

“Saya memang tak ambil tempahan dan hanya buat jika ada masa terluang sahaja,” katanya.

Terarium
LEBIH 100 terarium sudah disiapkan untuk kenalan mengikut saiz pada harga RM50 sehingga RM250 sahaja.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut berkongsi tip mengenai pemilihan pokok, lumut dan hiasan dalaman balang kaca sama ada tertutup atau terbuka untuk hiasan lebih tahan lama.

“Sebenarnya banyak jenis moss yang perlu kita pelajari. Saya biasa guna pokok fittonia sebab sukakan warna yang pelbagai. Pemilihan balang juga penting untuk tempoh pembesaran pokok.

“Kalau mahu kekalkan saiz pokok renek, kena pandai adun tanah dengan baja supaya boleh membesar sehingga empat inci,” ujarnya yang memaklumkan pokok tersebut boleh dikerat mengikut kesesuaian saiz pembesaran.

Mengulas lebih lanjut mengenai tempoh membuat terarium, Nazrol Ikhwan tidak menafikan agak rumit untuk menanam lumut di celahan batu atau kayu yang disusun dalam landskap.

“Tetapi kerana minat, saya sanggup habiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan satu terarium. Memang puas hati walaupun penat. Mungkin sebab kita minat, semuanya jadi senang.

“Kalau dulu, saya ambil masa empat hingga lima jam, itu pun tak siap. Sebabnya kalau salah potong, moss boleh terburai dan jadi rapuh. Jika potong terlalu pendek pun, tidak boleh juga,” katanya.

Namun begitu, kini jelasnya, set terarium yang ringkas boleh disiapkannya dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Sebaliknya, jika lapisan kontur landskap lebih kompleks, kemungkinan masa perlu diambilnya melebihi tiga jam untuk hasil yang memuaskan.

“Setakat ini, lebih 100 terarium sudah disiapkan untuk kenalan mengikut saiz pada harga RM50 sehingga RM250 sahaja,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Teknologi Maklumat Multimedia itu.

Nak macam-macam info? Jom join Channel Telegram Aku Papan Kekunci

Terima kasih kerana sudi membaca!

Apa pendapat anda? Kongsikan di ruangan komen, dan jangan lupa kongsikan artikel ini pada rakan rakan. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

- Advertisement -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL