spot_img

Kisah Bagaimana Gunung Jerai Dahulu Sebuah Pulau Menjadi Gunung Seperti Sekarang

- Advertisement -

GUNUNG Jerai setinggi 1,217 meter 18 Ogos lalu menarik perhatian seluruh negara bersebab dengan amukannya yang telah memakan enam korban nyawa. Dalam sejarah pengislaman Raja Kedah Tua, Phra Ong Mahawangsa pada 1136 Masihi oleh seorang ulamak dari Yemen, Syeikh Abdullah Al Qumairy, diceritakan bahawa sebuah menara azan telah dititahkan untuk dibina di puncak Gunung Jerai.

Syeikh Abdullah al Qumairy sebenarnya adalah utusan Syeikh Abdul Qadir Jailani yang turut mengutuskan sahabat-sahabatnya ke Eropah dan Afrika bagi tujuan dakwah Islamiyyah. Selain sebagai tanda syiar Islam, menara itu juga dikatakan akan berfungsi sebagai rumah api atau penunjuk arah bagi kapal-kapal yang berlayar di Selat Melaka.

Bukankah pelik lagi meragukan untuk sebuah menara azan dibina di puncak Gunung Jerai sedangkan istana atau pusat pentadbiran kerajaan ketika itu berpusat di Bukit Meriam, Kota Kuala Muda hari ini. Jika mahu dikira perjalanan melalui laut, jarak dari Kuala Muda (yang pada zaman dahulu dikenali sebagai Kota Arung Arungan) ke Tanjung Jaga atau Singkir Laut di kaki Gunung Jerai bukanlah dekat.

- Advertisement -

Ini yang memusykilkan sedangkan banyak catatan sejarah menyatakan bahawa Raja Phra Ong Mahawangsa atau Maharaja Derbar Raja yang setelah diislamkan bertukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah menitahkan Syeikh Abdullah mendirikan menara azan di puncak Gunung Jerai.

Jika dilihat pada situasi hari ini, memang meragukan, namun Gunung Jerai pada zaman itu bukanlah seperti sekarang. Gunung Jerai asalnya adalah sebuah pulau. Pulau itu — Pulau Serai — pada masa terpisah daripada tanah besar Semenanjung oleh sebuah selat yang kini sudah tidak wujud. Selain selat, kawasan sekitar Merbok dan Bedong juga pada zaman dahulu terdapat banyak teluk, antaranya Teluk Merbok dan juga sungai-sungai.

- Advertisement -

Sungai Merbok (dikenali sebagai Sungai Merpah pada zaman dahulu) adalah sungai yang paling besar selain terdapat juga Sungai Merbok Kechil dan beberapa sungai lain. Selat itu dikatakan merentasi sungai-sungai di sekitar Bedong dan memasuki aliran anak-anak sungai di Utara sekitar Gurun dan Guar Chempedak sekarang.

Dalam tempoh ribuan tahun, selat itu kemudiannya lenyap digantikan dengan dataran berpaya. Bukti pernah wujudnya selat ini kata pengkaji Nabil Nadri dapat dilihat pada aliran Sungai Bongkok dan taburan tasik-tasik semulajadi di lereng Timur kaki Gunung Jerai.

- Advertisement -

Lama kelamaan, apabila berlaku mendapan dan paras air semakin lama semakin tohor, akhirnya laut mengering meninggalkan dataran berpaya yang kemudian ditebus guna menjadi kawasan sawah hari ini. Seorang sami China dari Dinasti Tang, I Tsing mencatatkan bahawa ada sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Serai dalam Kerajaan Kedah masa itu. Dalam catatannya, I Tsing menyebut Pulau Serai dengan panggilan Pu Lo Shi. Sami itu singgah di Kedah pada 671 Masihi dalam pelayaran ke India.

Di sebelah Selatan, Sungai Muda yang jadi sempadan Kedah – Pulau Pinang hari ini, suatu ketika dahulu tidak wujud kualanya sebagaimana sekarang. Bahagian hilir yang mengalir ke kuala terbentuk daripada pengorekan (buatan manusia), bukan semulajadi.

Dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tulisan Muhammad Hassan Dato’ Kerani Arshad, halaman 15, dinyatakan bahawa kali pertama kerja pengorekan dilakukan ketika era pemerintahan Sri Paduka Maharaja Kerma. Laluan baharu itu dikorek bermula dari Permatang Pasir melalui Kota Arung Arungan (Kota Kuala Muda hari ini).

Tujuan sungai baharu itu dibentuk adalah bagi memudahkan urusan orang ramai kerana fungsi sungai sebagai pengangkutan utama sedangkan Kota Arung Arungan asalnya berjarak jauh dari sungai atau laut.

Sebelum itu, aliran asal Sungai Simpor daripada aliran Sungai Muda mengalir terus ke Sungai Merbok dan berkualakan di Kuala Sungai Merbok. Apabila aliran baharu yang ketika itu dinamakan Sungai Kuala Muda (mengikut Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, sekarang Sungai Muda), aliran Sungai Simpor ditutup dengan batu.

Berbalik pada cerita yang menyatakan Gunung Jerai berasal daripada sebuah pulau, maka munasabahlah untuk diterima kebenaran titah Sultan Muzaffar Shah kepada Syeikh Abdullah untuk didirikan sebuah menara azan yang juga rumah api di Pulau Serai (bukan Gunung Jerai).

Selain itu, jika diambil kira soal jarak dengan kewujudannya sebagai sebuah pulau (tidak perlu mendaki), tidaklah jauh mana dari Bukit Meriam ke Pulau Serai melalui laluan laut. Untuk melihat Gunung Jerai tertegak sebagai paras kedua tertinggi muka bumi di Kedah (selepas Gunung Bintang Hijau) hari ini, pelbagai perubahan telah berlaku yang mengubah rupanya daripada sebuah pulau kepada sebuah gunung.

Bukanlah cerita asing juga mengenai penemuan fosil daripada kerangan laut yang dijumpai di gunung itu (bukan kulit kerang orang berkelah) sebagai bukti asal Gunung Jerai sebuah pulau. Justeru ada kemungkinan kawasan sekitar Yan hari ini, Singkir, Merbok, Pengkalan Kakap, Pengakalan Bujang sama ada berada di dasar laut ketika itu ataupun mungkin berupa tanjung atau pulau.

Satu cerita lagi mengenai Gunung Jerai, banyak diceritakan orang mengenai kononnya terdapat harta karun yang disumpah Sang Kelembai. Cerita ini dikaitkan dengan kewujudan bongkahan batu berupa kapal dikenali sebagai Batu Kapal. Mengikut periwayat cerita legenda yang dikatakan Sang Kelembai itu ialah seorang ulamak sufi bernama Syed Hussin Jamadil Kubra.

Syed Hussin adalah keturunan Rasulullah S.A.W yang berasal dari India, telah berhijrah ke Nusantara untuk berdakwah. Beliau memulakan kerja dakwah di Kerajaan Samudera Pasai, kemudian berhijrah ke Kota Jiddah, Kelantan pada 1350 Masihi.

Semasa dalam pelayaran ke Kota Jiddah, kapal dinaikinya hampir karam lalu beliau berdoa kepada Allah. Kemudian datang ikan kacang-kacang telah menyumbat lubang yang bocor itu. Sebagai tanda syukur, Syed Hussin membuat keputusan untuk mendirikan masjid berhampiran tempat kejadian. Itulah Masjid Kampung Laut Tumpat, yang dibina tanpa paku.

Dalam peristiwa itu Syed Hussin bersama rombongannya juga telah diperlihatkan dengan peristiwa aneh seekor tupai putih memakan umbut buluh betong. Daripada keluarga beliaulah lahir ulamak-ulamak besar Nusantara termasuk Maulana Sheikh Ibrahim, salah seorang daripada Wali Songo dikenali sebagai Sunan Gresik, Sunan Ampel, Sunan Kalijaga dan Sunan Giri. Syed Hussin juga dikatakan pengasas kesultanan Brunei Darussalam.

Dikatakan semasa dalam pelayaran, kapal dinaiki Syed Hussin singgah berlabuh di Pulau Serai. Malangnya kapal itu telah ‘tersangkut’ atau mengalami kerosakan yang menyebabkannya tak dapat keluar dari situ.

Setelah beberapa lama tersadai, penduduk tempatan berebut mengambil barangan yang ditinggalkan. Bagi mengelak orang ramai berpusu-pusu dan berebut-rebut, Syed Hussin dengan karamahnya telah menyumpah kapal itu dengan seluruh isinya menjadi batu. Wallahua’lam.

Semasa bekerja mendirikan menara azan sebagaimana dititahkan Sultan Muzaffar Shah, Allah S.W.T telah mentakdirkan berakhirnya hayat Syeikh Abdullah Al Qumairy. Diriwayatkan bahawa meninggalnya Syeikh Abdullah telah diziarahi oleh wali Allah dari Baghdad, Syeikh Abdul Qadir Jailani (mungkin hadir secara kerohanian).

Syeikh Abdul Qadir Jailani juga telah menyampaikan watikah kepada Sultan Muzaffar Shah selaku Khalifah Islam bagi Negeri Kedah. Jika anda berkunjung ke Gunung Jerai dan dengar disebut orang mengenai Telaga Tok Syeikh atau lain-lain yang dikaitkan dengan Tok Syeikh, ketahuilah bahawa itu semua ada kaitan dengan Syeikh Abdullah. Batu Kapal pula ada kaitan dengan Syed Hussin Jamadil Kubra, bukan Sang Kelembai.

Sekian. Wallahua’lam.

Nak macam-macam info? Jom Join Channel Telegram Aku Papan Kekunci

Terima kasih kerana sudi membaca!

Apa pendapat anda? Kongsikan di ruangan komen, dan jangan lupa kongsikan artikel ini pada rakan rakan. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

- Advertisement -
- Advertisment -
- Advertisment -
close
spot_img

VIRAL